TEMUDUGA KRU KABIN SINGAPORE AIRLINES

DIARI SOLO: BERANI COBA, BERANI GAGAL DAN TERUS MENCOBA
EDISI TEMUDUGA KRU KABIN SINGAPORE AIRLINES
Tarikh Kejadian: Sabtu, 0830 pagi, 14 September 2019.
Lokasi: Hotel JW Marriott Bukit Bintang



2 minggu sebelum tarikh kejadian: Ternampak iklan Singapore Airlines Cabin Crew Interview bila buka laman sesawang LinkedIn. Iklan yang sama dipapar berulang kali.  Hmmm... macam seronok juga kerja dengan SQ (Kod Penerbangan utk Singapore Airlines sama seperti MH yang digunakan oleh Malaysian Airlines), gaji dibayar dalam matawang Singapore Dollar ditambah lagi dengan elaun yang pelbagai. Mohon sajalah secara atas talian. Sekiranya disenarai pendek, SQ akan maklumkan.

2 hari kemudian: Menerima jemputan temuduga secara video atas talian. Sekali baca kedengaran seperti 'prank', tapi emel yang diterima sememangnya dari ibu pejabat Singapore Airlines di Kuala Lumpur. Layan sajalah. Tempoh temuduga: 30 minit. Sekiranya disenarai pendek SQ akan maklumkan untuk Temuduga Pusingan Kedua nanti.

1 minggu sebelum tarikh kejadian: Agak terkejut dan sukar untuk percaya menerima emel dari SQ memaklumkan telah lulus Temuduga Video Atas Talian dan dipanggil untuk Temuduga Pusingan Kedua di Hotel JW Marriott Bukit Bintang lebih kurang satu minggu dari tarikh temuduga. Sekali baca kelihatan seperti emel 'scam' dari Nigeria di dalam folder email spam tetapi bila semak alamat pejabat SQ yang lengkap dinyatakan di dalam emel, didapati sama seperti di dalam web rasmi SQ. Layan sajalah. Bermulanya diet zero karbohidrat dan lebihkan protin semula dengan senaman kayuhan basikal satu jam ke dua jam sehari dan berjalan kaki hampir 5 kilometer sehari. 6 kilogram berjaya diturunkan di atas penimbang berat dalam tempoh seminggu. Cukuplah dengan gambar yang dipaparkan sebagai bukti.

Hari Temuduga, 0830 pagi: Menghadiri temuduga dengan menaiki pengangkutan awam MRT ditemani isteri sebab sudah menjadi kebiasaan menggunakan tren sekiranya perlu masuk ke ibukota yang sesak dengan trafik. Sebaik tiba sahaja di hotel dan menuju ke dewan menunggu, kelihatan hampir 250 calon temuduga menanti sambil riuh rendah dengan perbualan sesama calon. Kerusi disusun dengan sepuluh kerusi di setiap barisan dengan 10 barisan disebelah kiri dan kanan dewan dengan dipisahkan di bahagian tengah menjadikan bilangan kerusi lebih kurang 200 semuanya. Saya terus menuju ke dinding dewan dan berdiri dengan calon lain kerana semua kerusi sudah penuh. Ada sekitar 50 calon yang berdiri. Ada calon yang datang dengan kawan-kawan, ada yang datang dengan ibu dan ada yang datang berseorangan.

Berdasarkan pengamatan, rata-rata calon tampak seperti 'anak ikan' jambu persis jejaka penghias kulit Majalah fesyen lelaki GQ dan yang perempuan pula hampir semua kelihatan seperti peserta Asia's Next Top Model dengan gaya rambut kemas diikat dengan sanggul berupa Donat, 'Swiss Roll' dan 'Croissant' di atas kepala masing-masing. Hmmm.... mungkin tersilap dewan, tetapi bila ditanya semua mengatakan ini memang temuduga kabin kru dengan SQ. Hmmmm... alang-alang menyeluk pekasam. Jujur diperkatakan suasana di dalam dewan pada waktu itu tidak ubah seperti pusingan awal rancangan realiti televisyen Malaysian Idol atau Akademi Fantasia. Menarik nafas lega sedikit dengan Blazer H&M terpakai harga murah yang dibeli dari Carousell minggu lepas, sedikit sebanyak nampak seperti calon yang tampak berpengalaman walaupun ini kali pertama.

Sementara menunggu kakitangan SQ tiba, penulis memulakan perbualan dengan seorang calon yang berdiri di sebelah kanan penulis, seorang jejaka yang kelihatan amat muda sekitar 19 tahun, rambut pendek gaya tentera, lengkap berpakaian suit dan tali leher dengan beg galas. Agak terkejut apabila beliau menyatakan ini adalah temuduga kali kedua dengan SQ setelah tidak berjaya dalam temuduga sebelum ini di Sunway Hotel, Bandar Sunway pada Ogos lepas. Temuduga sebelum ini adalah secara 'Walk-in', dan mempunyai pusingan awal yang memerlukan calon menjawab soalan yang agak pelik dan rawak iaitu 'Apakah buah kegemaran anda?' dan hanya dua calon yang dipilih dari kumpulan seramai enam calon untuk ke pusingan yang seterusnya. Memang pelik. Beliau juga menyatakan baru sahaja tamat pengajian dengan Akademi Kru Kabin setelah tamat persekolahan namun itu bukanlah faktor jaminan bagi mendapat pekerjaan sebagai kabin kru dengan mana-mana syarikat penerbangan.

Setelah dua jam menunggu, barulah para calon dipanggil secara berperingkat untuk ukuran ketinggian tanpa kasut. Ini diikuti dengan serahan borang dan salinan dokumen peribadi seperti sijil kelulusan akademik, paspot dan mykad sekiranya calon melepasi had tinggi yang ditetapkan oleh SQ bagi calon lelaki dan perempuan. Sepanjang berdiri di dalam barisan menunggu, kedengaran calon rata-rata baru tamat sekolah menengah dan berumur di antara 18 hingga 26 tahun.

Setelah empat jam menunggu giliran, Staff SQ masuk ke dewan menunggu dan beritahu boleh pergi makan tengah hari dan kembali pada jam 1330 ptg.

1530 ptg: Setelah dua jam menunggu selepas makan tengah hari, akhirnya giliran sendiri pun tiba dan ditempatkan di dalam kumpulan berenam menghala ke dewan berasingan, dibahagi kepada dua kumpulan dan diberi topik secara rawak dan disuruh berdebat di antara dua kumpulan. Tajuk yang diberikan ialah 'Does age matter in a relationship?' Sangkakan terus ke sesi temuduga tetapi tidak. Setelah masing-masing menunjukkan bakat berdebat dan menanti arahan seterusnya di luar dewan, seorang kakitangan SQ memaklumkan tiada siapa di dalam kumpulan kami terpilih ke sesi seterusnya dan boleh meninggalkan temuduga. Hanya semudah itu. Yes, definitely a Singaporean standard of kiasu.

Setelah mendapatkan maklumat dari calon lain, sekiranya layak ke pusingan seterusnya, calon akan melalui ujian bacaan perenggan untuk penumpang penerbangan sebelum berlepas dan jika didapati suara kurang sesuai atau sebutan bahasa Inggeris tidak baik, calon akan diarahkan pulang. Ini akan diikuti dengan tiga lagi pusingan berasingan dengan cabaran berbeza sebelum berakhir dengan sesi tanda tangan kontrak dengan majikan.

Tujuan sebenar penulis hadiri temuduga adalah untuk merasai suasana sebenar temuduga dengan Syarikat Penerbangan yang diundi sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik 2018. Bukan sekadar cakap kosong tetapi SQ adalah yang terbaik di seluruh benua Asia dan Nombor 1 di dunia diikuti oleh Qatar Airways, Cathay Pacific dan Hainan Airlines dengan Hongkong Airlines di tangga ke -10 (South China Morning Post online, 19 July 2018). It was an honour for me to be invited to such a prestige interview walaupun tiada makan tengah hari disediakan oleh pihak hotel. Sebelum pulang, sempat bergambar kenangan di hadapan hotel kononnya penulis berada di The Shard, London Bridge St, City of Westminster walhal berdiri di tepi Jalan Bukit Bintang dengan disulami cuaca panas, hujan dan jerebu impot.

Apa yang penulis boleh nukilkan di sini ialah mungkin penemuduga sudah letih menapis calon beratus-ratus orang seawal 0830 pagi hingga ke petang dan apabila tiba giliran kumpulan penulis, disuruhnya pulang begitu sahaja selepas pusingan awal. Mungkin calon pilihan sudah ada dan kekosongan hampir diisi sepenuhnya. Ingin dimaklumkan bahawa hampir 90 peratus calon yang hadir pada hari temuduga sebenarnya telah hadir beberapa kali di temuduga yang lain dengan SQ namun masih tidak berjaya. Malah ada yang hampir 5 kali mencuba dan gagal namun tidak berputus asa dan masih juga tidak berjaya pada hari temuduga yang saya hadiri. Salah seorang calon di dalam kumpulan debat saya ialah seorang gadis Pulau Pinang berbangsa Cina yang hampir lima tahun berkhidmat sebagai Pramugari bersama Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines namun tidak juga berjaya.

Terima kasih SQ atas pengalaman berharga ini. Akan saya gunakan untuk memohon kru kabin di syarikat penerbangan yang lain pada masa akan datang. Had umur 40an bukanlah penghalang. Kalau saya boleh, anda pun sememangnya boleh. Percaya kepada Diri. Percaya kepada Tuhan. Penulis juga sempat menjalinkan persahabatan dengan dua calon pada hari temuduga. Seorang jejaka India 18 tahun dari Ipoh yang akan melanjutkan pengajian dengan UNITEN Pahang sekiranya tidak berjaya temuduga dan seorang gadis tinggi lampai yang pernah bersama Etihad Airways sebagai kru kabin. Kepada Ganesh dan Nurul Hidayah, penulis ingin mengucapkan semoga berjaya pada masa akan datang.

Berikut dinyatakan butiran pusingan yang lengkap bagi temuduga Singapore Airlines mengikut kronologi;

1. Ukuran ketinggian tanpa kasut.
2. Serahan borang permohonan, gambar paspot terkini & salinan dokumen peribadi yang disahkan dengan dokumen asal (mykad dan sijil akademik).
3. Pusingan Debat.
4. Ujian membaca perenggan dalam bahasa Inggeris.
5. Pemakaian Baju Kebaya Rasmi Kru Kabin SQ bagi calon perempuan sahaja.
6. Temuduga bersama wakil bahagian pengurusan SQ.
7. Tanda Tangan kontrak dengan SQ.

Sekian, semoga terhibur,

MRT Cabin Crew Laluan
Kajang - Sg Buloh

Comments

Popular Posts