HARI TERBUKA TEMUDUGA KRU KABIN QATAR AIRWAYS

Diari Solo: Berani Coba, Berani Gagal dan Jangan Berhenti Mencoba.
Edisi Hari Terbuka Temuduga Kru Kabin Qatar Airways
Tarikh: Ahad, 0830 hrs, 20 Oktober 2019
Lokasi: Renaissance Kuala Lumpur

Qatar Airways (QR) dipilih sebagai;
2018's 2nd World's Best Airlines.
2019's World's No. 1 Airlines.





1 minggu sebelum: Terima e-mel dari QR mengenai Hari Terbuka di Renaissance Kuala Lumpur seminggu dari tarikh setelah permohonan atas talian. Hari Terbuka? Hmmm.... apa yang terbukanya?Rupa-rupanya Hari Terbuka terbahagi kepada tiga hari. Hari pertama hanya untuk CV Drop dan Temuduga Ringkas tiga soalan santai sambil berdiri di hadapan penemuduga. Sekiranya lulus dikehendaki datang semula pada Hari Kedua untuk Ujian Dinamik Berkumpulan. Manakala Hari Ketiga adalah Final Interview dengan pihak pengurusan. Hmmm.... macam sempoi.
0800 pagi: Tiba di LRT Dang Wangi ditemani isteri dan berjalan kaki lebih kurang 300 meter ke hotel. Jalan raya sekitar ibukota ditutup untuk acara Kuala Lumpur Car Free Morning sehingga jam 0900 pagi. Penulis membuat keputusan untuk naik LRT kerana risau tiada parking, terpaksa berjalan jauh, berpeluh dan bakal kelihatan kurang keterampilan untuk temuduga. 

Setibanya di hotel, tiada kelihatan kelibat calon temuduga. Mungkin masih awal. Oleh kerana belum bersarapan dan untuk mengelak baju dari bau kari dhal sambal dengan aroma roti canai di Nasi Kandar Pelita Jalan Ampang yang berhampiran, maka bersarapanlah dengan roti ban yang dibeli dari King's Confectionery hari sebelumnya dengan secawan cafe latte di Kafeteria Hotel tapi bukan Bufet Sarapan sebab nanti alignment lari masa timbang berat. Ketika membuat bayaran, baru perasan harga kopi hotel lagi murah dan sedap dari Starbucks. Starbucks tiadalah sesedap mana kalau dibuat perbandingan secara rawak. Walau bagaimanapun ini adalah pengalaman peribadi penulis semata.
0840 pagi: Menuju ke Arcade Room tingkat bawah hotel iaitu lokasi Hari Temuduga bakal berlangsung. Kelihatan calon sudah mula berbaris dari bawah sampai ke atas lobi. Apa halnya. Kata mula jam 0900.
0900 pagi: Semua calon berkumpul di dalam dewan untuk taklimat oleh Ketua Penemuduga QR, seorang wanita berbangsa Arab berpakaian ringkas baju T dengan logo Qatar Airways di dada dan seluar khaki dengan rambut diikat kemas dengan gaya ekor kuda yang jika sekali pandang tidak ubah seperti pelakon Malaysia berdarah Campuran Melayu Scottish, Catriona Ross Baharin. Berdasarkan pengamatan, satu dewan tidak dapat memuatkan semua calon yang sedang menunggu sebenarnya. Rasanya perlu empat dewan tambahan baru cukup. Agak pelik kerana penganjur dengan mudah boleh menyemak anggaran jumlah calon yang berdaftar untuk hadir secara atas talian dan membuat persediaan dengan lebih rapi dan teratur.

0915 pagi: Calon mula beratur seperti kambing masuk kandang sebab tiada staf QR yang jaga barisan. Aksi cilok-mencilok oleh para calon pun bermula sama seperti situasi trafik di jalan raya Malaysia ketika waktu puncak. Hmmm... adakah ini standard Hari Terbuka Qatar Airways. Rata-rata calon datang dari seluruh pelusuk dunia dengan kepelbagaian warna kulit dan rambut. Peserta dibenarkan masuk ke dalam bilik penemuduga secara individu bergilir-gilir.
Secara purata berdasarkan pemerhatian, wajah-wajah calon dengan kewarganegaraan yang kelihatan;
Gadis Afrikaan berambut Afro: 5%
Jejaka/Gadis Arab berambut perang dan hitam: 10%
Sabahan Sarawakian: 20%
Gadis-gadis Eropah: 5%
Gadis-gadis Korea Selatan putih mulus dengan solekan wajah porcelain: 20%
Jejaka/Gadis Filipino, Vietnam, Singapore & Thai 4%
Jejaka/Gadis Melayu Semenanjung: 30%
Gadis Melayu Hijabista (Memang Tak Tipu): 2%
Jejaka Melayu dengan gaya rambut Man Bun: 2%
Lelaki berseluar jeans, kasut lari dan berbaju kemeja petak: 2%
Setelah 4 jam berdiri menunggu, Ketua Penemuduga mengumumkan para calon yang masih beratur boleh beransur untuk makan tengah hari dan kembali semula ke hotel sebab masa yang lama diambil untuk memproses calon yang terlalu ramai dan memenuhi sehingga ke ruang lobi hotel.
2030 malam: Setelah diringkaskan, dalam keadaan perut lapar masuk angin, lutut longgar, kaki bengkak, baru giliran sendiri tiba dan masuk pergi menghadap penemuduga, serah CV, gambar paspot, salinan paspot dan jawab tiga soalan yang sungguh santai yang antaranya 'Kenapa di kala umur 40an baru memohon untuk bekerja sebagai kru kabin dengan Qatar Airways?'. Berdasarkan pengamatan hanya ada 3 orang penemuduga yang duduk di meja berasingan dengan timbunan CV di kiri kanan meja menjelaskan kelembaban giliran peserta dipanggil. Penulis diberitahu untuk menunggu emel dari QR yang akan dihantar sekitar jam 1030 malam. Walaupun begitu, penulis sudah boleh hidu sesuatu yang kurang seronok kerana tidak diberi peluang membuat ujian capaian tangan 212 meter seperti calon wanita lain di dl dalam bilik tersebut dan tidak menerima Slip Jemputan Hari Kedua seperti yang diterima oleh calon lain.

1200 malam: Masih tiada emel dari QR. Secara rasminya penulis tidak berjaya untuk maju ke Hari Kedua. Tuah Ayam Nampak di Kaki, Tuah Hamba Bukan Kali Ini. Penulis sendiri akur penemuduga tiada masa dan kemampuan untuk emel hampir 3 ribu calon yang hadir pada hari tersebut sekaligus menidakkan omong kosong penemuduga mengenai emel yang dijanjikan kononnya akan dimaklumkan akan maju ke Hari Kedua atau tidak.
Walau apa pun, sekalung penghargaan kepada QR yang tidak penat melayan beribu calon yang datang seawal 0900 pagi hingga 0900 malam kerana tidak mahu kecewakan calon-calon yang datang sejauh dari benua Eropah mahupun dari Korea Selatan. Tabik hormat juga kepada semua calon yang sanggup berdiri selama 8 hingga 10 jam. Nasib baik tiada yang terkena serangan panik atau Histeria sepanjang hari kejadian.
Seperti yang dijangka, tiada makan percuma oleh Renaissance Kuala Lumpur dan sebelum beransur, penulis mengambil kesempatan bergambar di luar bilik temuduga kononnya baru sahaja selesai menghadiri company annual dinner.
Terima kasih sekiranya anda terhibur dengan perkongsian penulis yang sedikit sebanyak boleh digunakan sebagai panduan kepada sesiapa yang bercita-cita untuk terbang di angkasa raya sebagai kru kabin dengan syarikat penerbangan dari Timur Tengah. Gagal sekali bukan bererti gagal selama-lamanya. Jumpa lagi di temuduga atau hari terbuka yang akan datang.
Sekian, selamat malam ðŸ˜´
Kabin Kru LRT Kelana Jaya Line

Comments

Popular Posts